BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 9, 2009

Qaseh Asyiqin©

Alkisah, persalinan jingga ini Cikin serahkan kepada saya waktu mengambil Selendang Rindu dan Tudung Beauty untuk ijab dan qabul. Meski keadaan kesihatan tak berapa baik, tak sampai rasanya hati untuk menolak permintaan Cikin. Simpati kerana majlis persandingannya tinggal tiga hari saja lagi. Sementelah si tukang jahit yang saya kenalkan kepada Cikin tak mampu menyulamkan maniknya sekali lantaran jahitannya pun hanya siap kelmarin!

Hati gusar melihatkan jarum jam yang pantas berganjak. Demam pula masih tak kebah maka tak mampulah saya memulakan misi malam Krismas seperti yang dirancangkan. Hanya sekitar jam dua pagi barulah tangan mencapai jarum dan manik. Tanpa menoleh lagi, saya meneruskan perjuangan.

Mungkin tampak mudah kerana taburan maniknya nipis sahaja tapi hakikatnya menyulam atas kain renda, memang bercinta... Seharian saya tak keluar rumah dek khusyuk melayan baju nan sepasang ini. Malam itu saya lelapkan mata seketika cuma dan bangkit semula jam dua pagi juga. Mujurlah saya memang mengambil cuti Jumaat esoknya. Setelah siap tangan lagi sebelah, kini titik tumpu beralih kepada kain broked jingga pekat berbunga emas. Dalam waktu sesingkat itu, yang dapat saya fikirkan ialah memotong kuntuman bunga pada lebihan renda baju dan tampalkan ke atas kain. Berdoa moga cubaan kali pertama ini berjalan lancar dek mengejar masa. Selesai menjelujur, saya jahitkan manik2 dan labuci bujur supaya lebih menyerlah.

Lewat petang itu, setelah berpusing2 mencari arah tuju, saya pun sampai ke rumah Cikin. Rupa2nya Cikin sedang diijabkabulkan di masjid berhampiran. Tak mahu mengganggu, setelah berjumpa Cikin saya pun berlalu sambil berbisik "Ini aje yang akak mampu kerana singkatnya waktu..."

Alhamdulillah, malam itu barulah lena mata hitamku...

0 ulasan: