BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, June 7, 2009

Tudung Annural Balkis©

Entri ini agak terlewat. Saya bercuti seminggu di kampung halaman. Komputer riba pula tertinggal waktu kelam-kabut memunggah barang ke dalam perut kereta. Nak buat entri dengan Blackberry bukan tak boleh, cuma kena sabar lebih menekan papan kekunci yang saiznya jauh lebih kecil daripada kuku sendiri.

Berbalik kepada kisah tudung ini, saya memang kecut perut waktu diamanahkan oleh tuan yang empunya. Bukan setakat risau tak memenuhi kehendaknya tapi untuk memastikan hasil tangan saya nanti boleh "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" dengan sentuhan sparing partner yang seorang lagi.

Cabaran tugasan yang satu ini bermula dengan episod mencari materialnya. Rona batik sutera yang sungguh klasik menyebabkan saya berulang sebanyak tiga hari dari satu kedai ke satu kedai mencari warna yang paling sesuai. Awalnya sekadar berpandukan kiriman MMS namun hati cuak bimbang tak sepadan. Lantas saya meminta pepari pinjamkan dulu baju si dia untuk saya bawa bersama. Berulang-alik sepanjang Jalan TAR sambil berbalas SMS dan MMS dengan tuan badan, akhirnya saya memilih sutera syifon tiga warna yang masih panas dalam gulungan kayu.

Pemilihan warna dan corak sulaman manik saya serahkan kepada si pakar manik tabur. Walaupun agak terbatas komunikasi antara kami dek kesibukan pepari, saya teruskan langkah. Hampir mengalah dengan liuk lentuk syifon yang membuatkan bunga peony nampak tak terletak cantik. Taburan maniknya pula, jangan cakaplah... Memang tak terlawan sulaman berseni penuh magis si pepari.

Apapun saya bersyukur kerana kolaborasi ini sempurna jua dan kita tunggu saja komen si tuan punya yang menyarungkan tudung sedondon kurung batik Terengganu istimewa untuk majlis khatam al-Quran sempena perkahwinannya hujung minggu lalu.


Selamat Pengantin Baru Balkis!

0 ulasan: