BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 3, 2009

Langit tidak selalu cerah.....

Salam semua

Sejak sebelum subuh lagi tanah Kuala Lumpur basah ditimpa hujan. Cuaca yang sejuk hingga ke tulang kering kian meredakan gelodak dalam hati.

Hidup penuh cobaan.

Semalam saya teruji lagi. Cermin kereta saya dipecahkan waktu saya tinggalkan kononnya nak membeli nasi lemak kegemaran buat sarapan di pejabat.

Memang bukan rezeki saya. Nasi lemak kehabisan, sampai pula ke kereta tambah terpempan. Seperti cermin kaca yang retak seribu, begitulah hancur luluhnya hati saya. Mula marah pada diri sendiri yang cuai. Kerana nasi lemak sebungkus (tak juga dapat sudahnya), saya kerugian lebih banyak.

Dompet yang mengandungi wang tunai RM500++ (yang baru dikeluarkan untuk melangsai segala keperluan awal bulan), myKad, lesen memandu, kad kredit, kad perubatan, kad keahlian (dll), kamera & kabel (paling meralatkan kerana terlalu BANYAK gambar koleksi kerastangan terkini yang belum sempat saya pindahkan ke komputer), external hard disk 8GB, thumbdrive 2G & 1G, stok ubat, tiga helai tudung Beauty© eksklusif, cosmetic pouch dan pelbagai barang kecil yang tak tersenaraikan.

Beg "doraemon" yang muat segala kini telah terkorban selang beberapa hari umat Islam di seluruh dunia meraikan Hari Raya Qurban.

Maka bermulalah hari yang maha panjang. Berkejaran ke sana ke mari menguruskan keperluan. Ke balai polis saja sampai dua kali, dengan perut yang masih belum berisi.

Makan tengahari pun dipaksarela demi mengalas perut agar dapat meneruskan aktiviti lasak. Menyuap nasi ke mulut sambil kotak fikir menerawang jauh. Rasa sayu tiba-tiba menerpa kala alunan lagu-lagu syahdu berkumandang dari corong radio kedai makan. Tanpa sedar, manik-manik jernih pun berjuraian. Bukan tak redha, cuma rasa yang entah... sungguh tak terungkapkan.....

Mujur sang Blackberry tak terlepas dari genggaman. Dapat juga saya meluahkan rasa di laman Facebook. Komen demi komen sampai dalam peti masuk. Terima kasih kawan-kawan atas segala sokongan dan pesanan. Alhamdulillah, graf trauma kian merudum. Langkah tetap diteruskan walau bermula agak longlai.

Hari ini akan bermula episod yang panjang lagi. Seperti semalam, perasaan yang berperang di dalam, akan dilepaskan kala menendang bola di gelanggang futsal lewat petang nanti.

Ya Allah, ampuni segala salah dan silapku. Aku redha dengan ujian yang Kau turunkan kepada hambaMu yang lemah ini. Mudah-mudahan ada hikmah yang tersembunyi.

Kau berikanlah aku kekuatan untuk menempuh 1001 kisah episod kehidupan di pentas dunia ini. Amin.


(tiba-tiba hati berbisik, perlukah saya memanjangkan lagi tempoh "rehat" ini? hmmm....)



PERHATIAN kepada pelanggan yang masih menunggu tempahan (terutamanya tudung), harap dapat hubungi saya dengan segera kerana buku rekod tempahan juga turut hilang bersama semua barang di atas. Segala kesulitan amatlah dikesali.

1 ulasan:

Nadine said...

Siannya Izan.

Sabar ye, setiap yg berlaku ade hikmah disebaliknya. Mana tau lepas ni nak dpt rezeki besar ke kan. apepun syukur Izan selamat. Take care :)