Alkisah, persalinan jingga ini Cikin serahkan kepada saya waktu mengambil Selendang Rindu dan Tudung Beauty untuk ijab dan qabul. Meski keadaan kesihatan tak berapa baik, tak sampai rasanya hati untuk menolak permintaan Cikin. Simpati kerana majlis persandingannya tinggal tiga hari saja lagi. Sementelah si tukang jahit yang saya kenalkan kepada Cikin tak mampu menyulamkan maniknya sekali lantaran jahitannya pun hanya siap kelmarin!
Hati gusar melihatkan jarum jam yang pantas berganjak. Demam pula masih tak kebah maka tak mampulah saya memulakan misi malam Krismas seperti yang dirancangkan. Hanya sekitar jam dua pagi barulah tangan mencapai jarum dan manik. Tanpa menoleh lagi, saya meneruskan perjuangan.
Mungkin tampak mudah kerana taburan maniknya nipis sahaja tapi hakikatnya menyulam atas kain renda, memang bercinta... Seharian saya tak keluar rumah dek khusyuk melayan baju nan sepasang ini. Malam itu saya lelapkan mata seketika cuma dan bangkit semula jam dua pagi juga. Mujurlah saya memang mengambil cuti Jumaat esoknya. Setelah siap tangan lagi sebelah, kini titik tumpu beralih kepada kain broked jingga pekat berbunga emas. Dalam waktu sesingkat itu, yang dapat saya fikirkan ialah memotong kuntuman bunga pada lebihan renda baju dan tampalkan ke atas kain. Berdoa moga cubaan kali pertama ini berjalan lancar dek mengejar masa. Selesai menjelujur, saya jahitkan manik2 dan labuci bujur supaya lebih menyerlah.
Lewat petang itu, setelah berpusing2 mencari arah tuju, saya pun sampai ke rumah Cikin. Rupa2nya Cikin sedang diijabkabulkan di masjid berhampiran. Tak mahu mengganggu, setelah berjumpa Cikin saya pun berlalu sambil berbisik "Ini aje yang akak mampu kerana singkatnya waktu..."
Alhamdulillah, malam itu barulah lena mata hitamku...
Friday, January 9, 2009
Qaseh Asyiqin©
Lepas siap menyulam manik, mengomellah si Beauty n The Beads jam 18:25 0 ulasan
Label: Engagement/Wedding, Floral, Manik Tabur ++
Saturday, December 27, 2008
Tudung Akad Cikin©
Tudung Beauty daripada fabrik syifon India, sedondon dengan persalinan nikah Cikin. Rona putih bersih diserikan dengan manik dan labuci keemasan buat Cikin tampil anggun di hari pernikahannya petang semalam. Alhamdulillah!
Menjalara Ulik Mayang
Masih ada satu lagi koleksi sempena perkahwinan Cikin. Tapi apa kata kita lihat dulu hasil sentuhan saya untuk majlis pertunangan Cik Nur Qasieh pula.
Gadis ini teruja dengan rekaan sulaman "Menjalara Ulik Mayang Episod II" daripada ide asal Noraini aka Ladybeads. Menyedari pengaruh besar nama Ain dalam dunia sulaman manik, saya telah meminta kebenaran beliau untuk cuba mengaplikasikan rekaan tersebut demi memenuhi permintaan Nur Qasieh. Terima kasih daun keladi ye Ain!
Walaupun tanpa nota panduan menjahit, berpandukan gambar yang dikirim menerusi emel Nur Qasieh, saya memulakan lakaran. Rekaan yang serupa tapi tak sama ~ perhatikan corak di hujung tangan yang berlainan dan corak kombinasi tali air menggunakan manik sebiji2 (saya lebih gemar stail ini daripada tali air bersambung). Hasil air tangan nyata berbeza, pastinya sentuhan pemilik asal rekaan ini jauh lebih hebat. Namun setidak-tidaknya saya telah berjaya menyempurnakan impian Nur Qasieh.
Selamat Bertunang Nur Qasieh. Semoga ikatan ini akan berkekalan hingga ke jenjang pelamin. Insya~Allah!
Lepas siap menyulam manik, mengomellah si Beauty n The Beads jam 18:29 0 ulasan
Label: Engagement/Wedding, Floral, Stones - Crystals/Acrylics
Monday, December 15, 2008
Kesuma Hati©
Meski sebelum ini tak pernah bertentang mata, hanya berurusan melalui telefon genggam dan sembang maya, Zura memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk memperindahkan persalinan sempena hari bahagianya.
Untuk kebaya yang ditempah khas sempena majlis persandingan Zura ini, saya cuma menggunakan labuci mangkuk bunga dan manik bulat berona emas sebagai penaikseri pada pelipat kebaya, hujung tangan dan kain. "Hot fix stone" pula dilekatkan antara corak tampuk songket supaya lebih menyerlah namun tetap memelihara kecantikan asli tenunannya.
(Saya terpaksa membuka dan menjahit semula butang pada pelipat baju Zura kerana corak tampuk songketnya yang tinggi rendah. Kalau tidak, nanti sulaman kerongsang emasnya jadi sengetlah! Kasihan Zura.... Habis beratusan ringgit membayar upah jahitan yang mutunya tidak seperti yang diharapkan... Nampaknya kena cari tukang jahit lain la ye Zura? )
Terpesona dengan Tudung Beauty yang memikat hati, Zura telah meminta saya membuatkan sehelai selendang untuk dipakai bersama layah* kala menjadi Ratu Sehari nanti. Setelah dipersetujui, syifon krep dua meter berona hijau lembut dibeli. Labuci dan jemeki rona keemasan disulam indah sebagai padanan dengan kebaya hijau pucuk pisang milik tuan puteri.
Baju yang dirancang untuk diposkan kepada Zura ke kampungnya dapat saya serahkan sendiri ke tangan Zura sewaktu memandu pulang ke JB untuk menyambut Aidiladha. Selepas mengatur janji, kami bertemu buat pertama kalinya di Hentian Tol Simpang Ampat. Tak lama setelah meneruskan perjalanan, saya terima SMS ini:
019265XXXX, 2:08:50PM
"Akak sorry... Lupe nk btaw. Baju n tudung tu seriOus sgt2 lawa..!! Thanx so much akak! Asek cenyum je dr td ney... Hik2... BTW, Slamat ari raye! Take care taw.. "
Demi memenuhi permintaan Zura yang mengirimkan sampai dua keping kad undangan (Zura kata kalau satu tandanya tetamu VIP, kalau dua VVIP la.... ) pada hari Sabtu, 13 Disember yang lalu saya pun bertandang ke mahligai ibu bapa Zura yang tersergam di Tampin. Dua mata ini telah menyaksikan sendiri persalinan lengkap ini bergemerlapan indah digayakan Zura. Hati gembira bukan kepalang tika menatap senyum manis yang tak lekang dari bibir sang permaisuri sepanjang majlis.
Waktu bersalaman, Zura sempat berbisik "Kak, ramai orang tanya kat mana saya tempah baju dan selendang ni. Dia orang kata cantik. Nanti saya bagi alamat FP akak ye. Saya ada baju lagi nak mintak akak jahitkan manik tau" Bonda Zura juga tak putus-putus mengucap terima kasih kepada saya. Alhamdulillah.
Maka pulanglah saya dengan senyum sampai ke telinga...
Oh ye, Selamat Pengantin Baru ye Zura & Khairul. Moga mahligai yang dibina kekal teguh bak sangkar emas yang menjadi pelamin nan indah, saksi persandingan kalian!
Lepas siap menyulam manik, mengomellah si Beauty n The Beads jam 10:28 0 ulasan
Label: Engagement/Wedding, Highlight, Selendang Beauty©, Sequin Flower
Tuesday, December 9, 2008
Wednesday, December 3, 2008
Tudung Beauty Eksklusif©
Ryena begitu teringin memiliki Tudung CT seperti yang satu ni... Puas saya keluar masuk segala kedai kain sepanjang Jalan TAR. Sebut apa saja nama tempatnya. Daripada sekecil-kecil kedai hinggalah ke gedung-gedung ternama. Akhirnya terjumpa fabrik Sutera Itali ini.
Terkedu seketika bila si promoter manis memberitahu harganya.
Pantas saya sms Ryena untuk kepastian. Dek kerana minat yang mendalam, Ryena tetap pendirian.
Dan inilah hasilnya.....
Harap sangat Ryena sempat ambil kiriman Pos Ekspres sebelum pulang ke negeri di bawah Bayu. Dan pastinya, respons daripada Ryena tak sabar saya tunggu...
Oh ya, oleh kerana fabrik ini daripada sutera eksklusif, saya tak dibenarkan membeli semeter sahaja. Justeru, saya pelbagaikan hiasannya pada helaian tudung yang lagi dua.

Lepas siap menyulam manik, mengomellah si Beauty n The Beads jam 10:44 0 ulasan
Label: Beaded Lace, Octant, Tudung Beauty©
Monday, December 1, 2008
Majalah Ratu Sehari
ehem ehem..... Tudung Beauty masuk majalah?
Terima kasih kat iaN sHaM yang setia menyarungkan Tudung Beauty di mana jua iaN meng"make over".
Walaupun dalam majalah Ratu Sehari Edisi Ke-7 (Disember 2008) tak nampak jelas sangat sulam maniknya, nampak tudungnya pun jadilah..... (Thanks iaN for the info)
Hmmm, kali ni cerita pasal si tukang pakai...
Manalah tahu ada rezeki esok2, keluar pulak cerita si tukang jahitnya...
p/s mana satu yang betul - masuk majalah atau keluar majalah???
Lepas siap menyulam manik, mengomellah si Beauty n The Beads jam 10:46 0 ulasan
Label: Media Coverage

