BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, April 13, 2009

Tudung Beauty Envy©

Semalam singgah ke sebuah gedung tekstil di Jalan TAR. Sebaik saja melangkah ke tingkat 1, tiba-tiba seorang lelaki (yang saya kira orang penting di situ) berkata "Siti Nurhaliza datang!". Saya pun tertanya-tanya dalam hati sambil mengawal langkah, manalah tahu andai benar si penyanyi superstar memang datang membeli-belah.

Tapi misi mencari syifon tetap diteruskan dengan dilayani seorang gadis jurujual. Macam-macam soalan ditanyanya tentang tudung yang saya pakai termasuklah nak tahu di mana butik saya. Saya melayan seadanya sambil memilih-milih.

Sampai di kaunter pembayaran, lelaki tadi datang menghampiri. "Lawa tudung akak. Sulam tu buat di mana? Ni bukan yang pakai "patching" aje tu ke? Tu la... Sekarang semua nak buat macam A*i*n*. Siti pun tiru macam A*i*n*" katanya sinis. Usai membayar, saya mengangkat kening dan berkata "Iye ke?"... lantas berlalu pergi.

Hmmm, sepanjang 2-3 kali ke A*i*n*, patching tak patching pun, rasanya tak pernah sekali pun saya nampak rekaan tudungnya seperti hasil tangan saya ini walaupun harganya jauh berlipat-ganda daripada yang saya tawarkan.

Tapi iye lah, kalau nak bercerita asal-usul tudung yang kian hangat di pasaran ni, ibarat mencari asal-usul ayam dan telur juga... Sampai ke sudah tak pasti yang mana keluar dulu.... Yang penting, saya tak sekali-kali tiru A*i*n* jauh sekali dapat menandingi Dato' Siti.

Buktinya, cuba anda tengok gambar ni. Sampai dah naik kuning ditelan zaman... Betapa lamanya tudung Beauty telah menjadi identiti cuma kerana daku bukanlah siapa-siapa maka selama ini tiada siapa yang mahu memandang hatta dengan sebelah mata...
Tapi kalau tak silap saya (maklumlah ingatan dah tak berapa bagus bila usia dah meningkat ni), semenjak diperkenalkan di alam maya, hasil kerastangan saya yang tak seberapa ini telah menjadi ikutan sehingga mencetuskan fenomena dan juga menjana pendapatan sampingan kepada yang bijak ambil kesempatan. Opsss.... Namun saya tetap percaya bahawa Tuhan dah tentukan rezeki masing-masing...

Secara peribadi, saya suka kepada renungan ini. Bukan untuk menuding jari kepada sesiapa tapi sebagai peringatan kepada diri saya sendiri yang banyak kekurangan ini.

Kita kena selalu beringat, hidup ini ibarat roda. Ada masa kita di atas, ada masa boleh turun ke bawah. Kalaupun kita dah ada nama besar, jangan sekali-kali mendabik dada. Jangan sewenang-wenangnya memperlekehkan orang lain. Terkenal tak semestinya terbaik malah tak mustahil ada yang jauh lebih baik daripada kita. Ingatlah semua ini pinjaman daripada Dia Yang Maha Kaya. Andai Dia mahu menduga, segalanya boleh ditarik balik dalam sekelip mata. Bersyukurlah dengan kurniaan-Nya.

Wallahu'alam.

Tuesday, April 7, 2009

Kayangan©

Memang sudah tertulis.

Meski di saat-saat akhir, saya berjaya juga menyertai 22 orang lagi peserta Pertandingan Sulam Manik, Kristal & Benang anjuran FTiMDC sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-10.

Lama membayangkan rekaan yang lain daripada yang lain, namun ilhamnya tidak menjelma. Baru mula sekerat jalan, saya membuka semula jahitan kerana hati tak puas. Pilihan warna dan spesis rama-rama juga ditukar. Maka buntanglah mata saya kerana tidur cuma dua jam selama dua hari dua malam.

Terkesima bila mendengarkan sang juara mengambil masa tiga bulan untuk menyempurnakan sentuhannya sedangkan saya pula membuat "kerja gila" dalam masa tak sampai pun tiga hari (sebab itu manalah mampu menandingi rekaannya yang begitu teliti berseni).

Dan inilah hasilnya yang saya hantarkan ke pejabat urusetia pertandingan lewat tarikh tutup tempohari. Kurung Pahang daripada fabrik sutera thai rona merah jambu mutiara diperindahkan dengan sulaman manik, labuci, kristal dan
benang hijau muda sebagai penyeri.

Ketika si peragawati cantik melangkah masuk ke pentas peragaan, jantung berdegup laju. Seribu satu perasaan bercampur-baur dalam kalbu. Rasa gemuruh, bangga, terharu dan gembira bersatu. Mujur air mata tak tumpah dari relung mata tatkala cahaya lampu menyuluh ke dada baju. Titik tumpu pastinya pada sang kupu-kupu.

Ralat sungguh kerana terlepas siaran Berita di Astro Awani
lewat petang Ahad lalu. Kata Siti, hanya dua koleksi yang
dipertontonkan kepada umum dan hasil rekaan saya adalah
salah satu daripadanya.

Yang pasti, peluang pertama kali menyertai pertandingan

seumpama ini dan kesempatan untuk beramah-mesra dengan
para pencinta seni sulaman membuatkan saya berasa seolah-
olah di kayangan. Begitu berharga dan akan tersimpan rapi
dalam kotak kenangan...

Sunday, March 29, 2009

Dedikasi untuk Farah

Istimewa untukmu....

Semoga tetap menyambutnya dengan ceria walau kau masih perlu menanti dan terus menanti...

Saturday, March 28, 2009

Tudung Akad Lia©

Tudung Beauty daripada fabrik syifon krep rona putih susu bersulam manik serta jemeki hijau dan fuschia menjadi warna tema yang melatari persalinan akad Lia ~ sang ratu sehari.

Viva Reen

Setelah sekian lama asyik berkongsi koleksi Tudung Beauty, mari lihat hasil sulaman ringkas namun tetap malar segar.

Sulaman "Viva" dengan manik beras pada kedua belah tangan, leher dan keliling baju sepertimana yang dipinta Reen.


Wednesday, March 18, 2009

Tudung untuk Cikin©

Tudung rona kuning bersulam biru sedondon dengan baju kurung moden yang ingin Cikin gayakan pada majlis perkahwinan teman baiknya di Jakarta.


Tuesday, March 10, 2009

Tudung untuk Tuty©

Quote:
Fri 28-Nov-2008, 03:46
Posted by : TUTY ROHIDA BT. ABU BAKAR (tuty_cdc@yahoo.com)

"izan congrate..
dengan insan macam izan, dalam diam-diam izan cuba meningkatkan martabat kewanitaan melayu yang lebih glamor dan sofistikated , mintak tolong e-mail kat 2t full version collection tudung cinta dan tudung sukma yea..

thanks izan."

Demikian komen yang Tuty tinggalkan pada entri tudung Chinta.

Terus Tuty menempah dua helai tudung berwarna hitam dan putih. Jatuh cinta dengan tudung ian, Tuty meminta saya menambahkan hiasan pada rekaan tudung itu dengan butiran mutiara yang menjadi kegilaannya.

Nah, inilah hasilnya.

Dan Tuty kembali menempah untuk majlis ijab kabulnya bulan lima nanti.

Terima kasih ye Tuty atas kepercayaanmu!