BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, September 30, 2009

Nurin Qaseh

Assalamu'alaikum

Selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin.

Bertemu semula dengan entri pertama selepas demam raya... Kebaya bersulam kerawang milik Nurin sang jurumekap yang namanya kian meniti di bibir para penggemar seni solekan dan bakal raja sehari.

Seperti kebiasaan, transformasi sulam kerawang perlu dibuat dengan teliti. Menyulam manik labuci pada sulaman perlu berhati-hati kerana acapkali jarum terpatah dua. Pemilihan warna juga perlu dibuat dengan bijaksana agar sesuai dengan kain padanannya. Untuk kebaya Nurin ini, saya memilih untuk menggabungkan warna-warna yang serumpun supaya harmoni dengan warna kebaya yang sedia "menjerit".

Perhatikan sulaman polos tanpa manik di sebelah kiri (bunga labuci telah saya sulamkan terlebih dahulu) dengan yang telah diperindahkan di sebelah kanan.



Ini pula sulaman manik labuci pada kerawang di kaki kebaya


Keseluruhan tangan dan depan kebaya yang disarungkan pada majlis pertunangan beliau.

Kita tunggu gambar-gambar sempena hari pertunangan Nurin. Sementara itu, untuk anda yang ingin melihat hasil sentuhan jurusolek muda ini, sila layari http://nurinmakeover.fotopages.com

Thursday, September 17, 2009

Salam Lebaran

Kepada semua sahabat handai, rakan taulan, sanak saudara, para pelanggan, penyokong, pelawat laman ini serta semua muslimin-muslimat, di mana jua anda berada...

[Photo & editing : Artisme Republic | Make-Up : Rafie the Make-Up Arts | Wardrobe : BnTB]

Insya-Allah, gambar hasil kerjatangan pra Ramadhan dan Syawal akan disiarkan selepas ini. Terima kasih kepada semua atas segala-galanya.

Sampai jumpa lagi!



Friday, September 11, 2009

Dari Kuala Lumpur ke Manchester

Mungkin benar kata orang tua. Kalau idamkan sesuatu, sebutlah sebanyak 40x nescaya jadi kenyataan. Tapi saya lebih percaya bahawa kata-kata itu adalah doa.

Mungkin ada di antara teman-teman FB yang menyedari tentang bahawa saya sering mengemaskini status di FB dengan "M.U".
Pelbagai tekaan dibuat tentang akronim itu sedangkan yang tersurat dan tersirat hanya Dia Yang Maha Mengetahui, selain saya yang empunya diri.

Apapun kisah sebenar di sebaliknya, hari ini saya tersenyum puas kerana "berkat" menyebut-nyebut "M.U", akhirnya di sana "jodoh"ku bertemu.
Siapa sangka, hasil kerja tangan yang tidak sepertinya ini telah menambat hati seorang wanita di sana.

Memang saya menggosok-gosok mata tatkala membaca jejak yang ditinggalkan di laman fotopages saya.

"Saya nak tempah tudung beauty ni kaler putih ngan kaler itam.. nak 2 tudung. camner pembayarannya? boleh ke penghantaran ke Manchester?" Sun 21-Jun-2009 22:49 Posted by:siti noorbaya

Manchester? M.U? Atau Manek Urai?


Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia, dengan izin Yang Maha Kuasa.
Lantas saya menghubungi beliau menerusi email untuk perbincangan lanjut. Tidak sukar berurusan dengan beliau. Pengesahan tempahan (siap tambah lagi sehelai), pembayaran deposit semuanya berjalan lancar.

Dan akhirnya bingkisan ini siap untuk dikirimkan...


Kos penghantaran lebih mahal daripada sehelai tudung. Tapi kalau hati sudah suka, semua indah saja...... ;-)

PM daripada Siti Noorbaya, September 10 at 6:31pm

"akak ku sayang...dah sampai dah parcel tadi kul 11 tadi...ku gembira..nak posing ngan tudung2 jap lagi..CANTEKK..."

tudung hitam "Ian" terus menjadi pujaan, tampilkan Baya penuh menawan...



tudung syifon merah jambu, buat Baya tampak ayu


kerudung putih dengan renda berperincian manik labuci, penyeri wajah kesayangan si
Wayne Rooney (ops, jgn marah eh Encik Suami...)



Apapun, terima kasih daun keladi ye Baya! Kepercayaan yang diberikan telah melakar satu lagi sejarah manis dalam diari Beauty & The Beads©


Alhamdulillah...

Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan BnTB baik dari jauh mahupun dekat. Teristimewa buat yang sentiasa setia menemani hingga sempurnanya misi ini.

Insya-Allah, ada rezeki kita ke M.U. nanti...