BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, February 21, 2010

50 BLOG TERBAIK MALAYSIA?

Sedang leka memilih gambar untuk dijadikan teaser dalam laman penggemar BnTB di facebook, alunan "Cintaku Tertinggal di Malaysia" tiba-tiba kedengaran. Bukan sang Dewa yang bernyanyi untuk saya tapi itu nada dering dari si Blackberry tanda ada pesanan ringkas a.k.a SMS masuk.

Gerangan siapakah yang menghantar SMS di tengah-tengah malam begini? Nak tempah tudung? Selendang? Layah? Topeng atau sulaman manik? Kalau dulu ramai yang segan silu nak menelefon hatta menghantar SMS selepas jam 10 malam tapi kini tidak lagi. Almaklum, sekarang bukan saja kedai 7E yang beroperasi 24 jam sehari tapi usahawan e-dagang juga kian rancak berurusniaga lewat malam hingga ke dinihari. Apatah lagi dengan membiaknya komuniti "burung hantu" sejak beberapa purnama yang lalu. ;-)

Jemari yang lenguh menolak tetikus segera mencapai Blackberry sebelum Dewa menyanyi sampai ke penghujung lagu. Mata pun membaca SMS ini:

Feb 21, 2010-12:03:13AM, +60193936XYZ
"Amboi kak. x sangka blog akk msk intrend antr 50 blog tbaik undr usahawan muda"


Huh? Saya menggosok-gosok mata yang sembab sejak semalam akibat sakit kepala sambil tangan sebelah menaip SMS menanya "Siyes?". "Yup, frnt cover muka zizie. Esk lh tgk" balasnya.

Hmmm, patutlah siang tadi mata tertumpu kepada majalah ini waktu singgah di kedai membeli akhbar harian. Niat di hati nak membelek, tapi terpandang muka ane sedang memerhati langsung tak jadi.

Terus seram sejuk rasa badan tapi tetap nekad nak keluar juga mencari majalah tu. Tak sanggup nak tunggu hingga terbitnya mentari pagi. Aje kerja gila, walau kunci kereta telah dicapai, saya tak sedar TERjalan kaki sampai ke 7E berdekatan rumah. Mujur pelanggan warung di penghujung jalan tak bertempiaran lari bila tengok perempuan berjubah hitam berjalan laju tengah malam begini :P

Sampai depan pintu 7E mata meliar ke rak majalah namun tak nampak wajah yang dicari. Lekas-lekas ke kedai mamak sebelah yang entah mimpi apa masih buka waktu begini. Pun hampa. Melangkah ke kedai sebelah lagi yang masih buka dan tadaaaa! Saya nampak Zizie Ezette sedang merenung tepat ke arah saya.


Menggeletar tangan menyelak lembaran demi lembaran hingga terhenti kala mengecam gambar sang Dragonfly.


Ya Allah! Macam tak percaya... Tapi realitinya sudah di depan mata dan sedang dipasarkan ke seluruh negara malah menembusi kota Singa.



Terbaik? BUKAN. Tapi terpilih antara yang terbaik atau mungkinkah hanya sebab bernasib baik? Gila kentang dapat tersenarai antara.....




sebaris dengan pereka tersohor Rizalman Ibrahim, Hatta Dolmat, Syaiful Bahrim (sekadar menyebut beberapa nama), Saiful Nang dan ramai lagi. Baru bulan lepas hati merasa iri membaca liputan tentang gadis muda cantik lagi bijaksana bernama Hanis Zalikha yang blognya tercalon antara blog selebriti paling popular di Asia, satu pengiktirafan oleh nuffnang. Sudah mendapat tempat sampai ke Asia, sudah tentu blog Hanis turut terpilih oleh InTrend. Wah wah BnTB dapat "duduk" (berdiri sahih tak sama tinggi) sebelah Hanis dalam InTrend tau. Feeling sekejap... Ehem

Dan sekarang saya mampu tersenyum walau tak semanis senyuman Hanis. Alhamdulillah. Biar banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadi sehebat blog Hanis atau nama-nama besar yang lain tapi sekurang-kurangnya saya berbangga kerana blog yang saya bangunkan baru beberapa bulan (dulu saya fokus dengan fotopages) telah mula mencuri perhatian.



Tinggi "penghargaan" yang InTrend berikan. Menjadi 10 blog terbaik bagi kategori usahawan muda sesungguhnya sesuatu yang tak tercapai dek akal waras saya sejak sekian lama. Saya bukanlah usahawan sepenuh masa. Belum layak pun bergelar usahawan. Dan tak muda lagi pulak tu... Tapi saya memang berusaha keras untuk menjadi siapa saya hari ini. Usaha yang bukan hanya wan (one) time.


Daripada budak perempuan yang tiap petang mengayuh BMX keliling kampung (punya legam kulit tak usah cakap) dan kemudiannya sepanjang Ramadhan, seperti Dato' Siti Nurhaliza, saya juga pernah menjaja kuih air tangan emak dari rumah ke rumah, menjual ais krim Malaysia dan candy kelapa di sekolah agama sementelah rumah saya antara yang pertama membeli peti ais (lepas tu ustazah tak benarkan berjualan lagi. Rupa-rupanya sebab ustazah dah beli peti ais juga dan berniaga ais krim senyap-senyap). 

Tiap petang lepas siapkan apa yang patut di warung Sri Tanjung, saya ikut pasukan pelapis bola sepak lelaki Jalan Tanjung atau setidak-tidaknya main "baling selipar". Tukang urut (kini aruah) di kampung dah jadi seperti ibu angkat saya kerana kerapnya datang mengurut kaki yang terseliuh akibat terjatuh pokok mahupun bermain "lompat getah". Di bangku sekolah menengah, saya ambil upah menggosok baju tauke restoran dan tolong abang Malek di gerai burger. Hidup saya sekeluarga bukanlah sesusah mana. Cukup sederhana tapi saya lakukan semua itu kerana saya memang jenis yang tak reti duduk diam. Sementara menunggu keputusan SPM, saya jadi gadis kilang macam Ziana Zain ~ dari kilang buat tilam bantal, tin hinggalah elektronik. Sebab itulah tangan saya kasar dek pelbagai aktiviti lasak (bukan sebab rajin memasak), pegang jarum jauh sekali... errr cukuplah terbocor rahsia diri di 
sebalik nama BnTB... ^_^

*mesti ada yang cakap apa motif nak samakan hikayat diri kerdil ini dgn nama selebriti tersohor kan? :p

Dan saya dalam mode MEGA HAPPY hari ini. Alhamdulillah, syukur nikmat! (dan tentunya terima kasih kepada anda semua yang setia mengikuti perkembangan laman ini tanpa jemu, para pelanggan, handai taulan, kamu, kamu dan kamu semua)

XOXO

Saturday, February 20, 2010

Kayangan II©

Lama tak bersiaran dek memenuhi pelbagai tuntutan dalam meladeni kehidupan seharian. Daripada tuntutan masa, rutin pejabat, kondisi kesihatan dan 1001 macam tuntutan lain yang memerlukan masa, tenaga dan wang yang bukan sedikit.

Apapun, mulai hari ini saya akan cuba mengemaskini laman ini agar tidak jemu dipandang mata. Siarannya pula nanti tidak mengikut kronologi namun akan tetap saya kongsikan satu persatu bermula dengan koleksi tahun lalu. Insya-Allah. Bimbang juga ada yang terlepas pandang, almaklum kad
memori dalam kepala ni hampir penuh kapasitinya.

Ditampilkan dahulu siri "Kayangan II" yang menyusul pantas selepas tersiarnya rekaan "Kayangan" yang dihasilkan istimewa sebagai penyertaan dalam Pertandingan Sulaman Manik, Benang dan Kristal anjuran FTiMDC hampir setahun yang lalu.

Motif rama-rama masih dipelihara sebagai identiti BnTB.

Sementara sentuhan baru diberi pada sulaman manik labuci dan kristal di bahagian leher dan tangan. Berbeza dengan rekaan asal, rekaan kali ini tidak menggunakan sulaman benang bersesuaian dengan bajet yang dianggarkan.


Alhamdulillah, si empunya baju berpuas hati untuk kesekian kali.


Sampai di sini dulu buat kali ini. Buat Ika & Farah, insyaAllah tempahan kalian akan diserahkan tak lama lagi. Terima kasih atas kesabaran kamu yang amat saya hargai. Dan tak lupa kepada Aza juga. Sementara tempahan baru akan dikemaskinikan senarainya.

Kepada panggilan, sms dan emel yang belum berbalas, harap bersabar ya. Ada kalanya tak dapat dijawab serta-merta dek tugasan di tempat kerja (Ya, saya adalah pekerja pejabat seperti kebanyakan orang di luar sana. Seni sulaman manik labuci dan kerjatangan yang seumpamanya serta aktiviti lain cuma disempurnakan kala senggang).

Dan oh ya, buat waktu ini "butik" Beauty & The Beads hanya beroperasi di laman maya. Membuka butik sebenar di premis perniagaan adalah impian yang hanya DIA Yang Maha Tahu bila dan adakah 'kan menjadi kenyataan.....

Doa dan sokongan kalian hanya Allah SWT jua yang mampu membalasnya.

Jumpa lagi!