BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 30, 2009

Mannequin

Sementara menyudahkan tempahan yang ada, mari cuci mata dengan satu lagi hasil kolaborasi BnTB dengan team Artisme Republic dan ian sham.

Ya, model ini adalah orang yang sama dalam entri "Teaser" dan "Variasi Gaya Layah Topaz©".

Macam pernah kamu lihat? Tapi di mana ya? Beliau adalah si gadis lincah iklan Sunsilk versi futsal dan juga pemegang watak Nabila dalam drama bersiri popular yang meruntun banyak hati "Nur Kasih" ~ Fatiya Latiff.

Amat mengujakan bekerja dengan Tiya yang professional dan tentunya menggamit kami untuk berkolaborasi lagi... (Oh ya, bila melihat gambar di atas, tentu ada suara nakal yang berkata "kepala bertutup, badan terdedah, pakai pengilat kuku" dsb. Well, seni itu amat subjektif. Justeru terimalah ini sebagai naskhah seni, bukan untuk mempersenda hukum sekali-kali) *wink*


Untuk pelbagai aksi menarik Tiya, klik sini dan sini.

Headpiece & Tatarias : Beauty & The Beads
Solekan : the Magical Touch of ian sham
Model : Fatiya Latiff
Fotografi, Pencahayaan & Suntingan : Artisme Republic


Dan untuk kesekian kalinya, kepada yang masih menunggu giliran, harap dapat hubungi saya dengan kadar segera supaya dapat dikemaskinikan status tempahan anda susulan daripada kehilangan buku tempahan baru-baru ini.

Monday, December 21, 2009

Variasi Gaya Layah Topaz©

Kalau sebelum ini BnTB mengilhamkan layah Topaz© dalam citra penuh feminin, kali ini ditampilkan satu lagi seleksi pemakaian layah ini

untuk yang gemar bergaya ranggi namun karisma kekal mempesona.

Layah (Veil) : Beauty & The Beads
Solekan & Dandanan Rambut : the Magical Touch of ian sham
Model : Fatiya Latiff
Fotografi, Pencahayaan & Suntingan : Artisme Republic


Thursday, December 17, 2009

Salam Ma'al Hijrah


PERHATIAN kepada pelanggan yang masih menunggu tempahan (terutamanya tudung), harap dapat hubungi saya dengan segera kerana buku rekod tempahan juga turut hilang bersama beg tangan yang dicuri baru-baru ini. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Terima kasih.


Wednesday, December 9, 2009

Beauty Trilogy©

Inspirasi daripada layah merah yang saya gayakan ketika menghadiri Majlis Pelancaran Buku Sulaman Manik Rosita Jaafar di Menara KL Ogos lalu, kini ditampilkan siri trilogi himpunan terkini eksklusif daripada Beauty & The Beads.



Emerald©


Layah (Veil) : Beauty & The Beads
Solekan & Dandanan Rambut : the Magical Touch of ian sham
Model : Diana Jalal
Fotografi, Pencahayaan & Suntingan : Artisme Republic




PERHATIAN kepada pelanggan yang masih menunggu tempahan (terutamanya tudung), harap dapat hubungi saya dengan segera kerana buku rekod tempahan juga turut hilang bersama beg tangan yang dicuri baru-baru ini. Segala kesulitan amatlah dikesali. Terima kasih.

Thursday, December 3, 2009

Langit tidak selalu cerah.....

Salam semua

Sejak sebelum subuh lagi tanah Kuala Lumpur basah ditimpa hujan. Cuaca yang sejuk hingga ke tulang kering kian meredakan gelodak dalam hati.

Hidup penuh cobaan.

Semalam saya teruji lagi. Cermin kereta saya dipecahkan waktu saya tinggalkan kononnya nak membeli nasi lemak kegemaran buat sarapan di pejabat.

Memang bukan rezeki saya. Nasi lemak kehabisan, sampai pula ke kereta tambah terpempan. Seperti cermin kaca yang retak seribu, begitulah hancur luluhnya hati saya. Mula marah pada diri sendiri yang cuai. Kerana nasi lemak sebungkus (tak juga dapat sudahnya), saya kerugian lebih banyak.

Dompet yang mengandungi wang tunai RM500++ (yang baru dikeluarkan untuk melangsai segala keperluan awal bulan), myKad, lesen memandu, kad kredit, kad perubatan, kad keahlian (dll), kamera & kabel (paling meralatkan kerana terlalu BANYAK gambar koleksi kerastangan terkini yang belum sempat saya pindahkan ke komputer), external hard disk 8GB, thumbdrive 2G & 1G, stok ubat, tiga helai tudung Beauty© eksklusif, cosmetic pouch dan pelbagai barang kecil yang tak tersenaraikan.

Beg "doraemon" yang muat segala kini telah terkorban selang beberapa hari umat Islam di seluruh dunia meraikan Hari Raya Qurban.

Maka bermulalah hari yang maha panjang. Berkejaran ke sana ke mari menguruskan keperluan. Ke balai polis saja sampai dua kali, dengan perut yang masih belum berisi.

Makan tengahari pun dipaksarela demi mengalas perut agar dapat meneruskan aktiviti lasak. Menyuap nasi ke mulut sambil kotak fikir menerawang jauh. Rasa sayu tiba-tiba menerpa kala alunan lagu-lagu syahdu berkumandang dari corong radio kedai makan. Tanpa sedar, manik-manik jernih pun berjuraian. Bukan tak redha, cuma rasa yang entah... sungguh tak terungkapkan.....

Mujur sang Blackberry tak terlepas dari genggaman. Dapat juga saya meluahkan rasa di laman Facebook. Komen demi komen sampai dalam peti masuk. Terima kasih kawan-kawan atas segala sokongan dan pesanan. Alhamdulillah, graf trauma kian merudum. Langkah tetap diteruskan walau bermula agak longlai.

Hari ini akan bermula episod yang panjang lagi. Seperti semalam, perasaan yang berperang di dalam, akan dilepaskan kala menendang bola di gelanggang futsal lewat petang nanti.

Ya Allah, ampuni segala salah dan silapku. Aku redha dengan ujian yang Kau turunkan kepada hambaMu yang lemah ini. Mudah-mudahan ada hikmah yang tersembunyi.

Kau berikanlah aku kekuatan untuk menempuh 1001 kisah episod kehidupan di pentas dunia ini. Amin.


(tiba-tiba hati berbisik, perlukah saya memanjangkan lagi tempoh "rehat" ini? hmmm....)



PERHATIAN kepada pelanggan yang masih menunggu tempahan (terutamanya tudung), harap dapat hubungi saya dengan segera kerana buku rekod tempahan juga turut hilang bersama semua barang di atas. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Wednesday, November 25, 2009

Sorry

BnTB is overwhelmed with the response, request, feedback, comments, enquiries & interest in BnTB's beadwork and such. However....

To all on the waiting list, thank you for your patience. Insya-Allah, your orders shall be delivered as committed (unless informed otherwise). Thank you for your continuous support, concern, do'a and everything. Those mean so much and shall be treasured forever.

From the bottom of my heart ~THANK YOU~


Teaser

Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ Salam Aidiladha kepada semua muslimin-muslimat, saudara serta saudari. Semoga setiap pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dihati akan diberkati Illahi Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ

Monday, November 23, 2009

Tudung Pertunangan Shafiqa©

Cubaan pertama menggunakan cloissant beads pada Tudung Beauty© istimewa untuk Shafiqa yang telah melangsungkan pertunangannya dengan jejaka pilihan hati semalam.

Rona merah dan krim melatari majlis, daripada persalinan kedua pasangan berdarah manis, hinggalah kepada persembahan barang hantaran.

Semoga ikatan yang termeterai akan berpanjangan ke jenjang pelamin. Insya-Allah!

Buat Shafiqa & Alfazari, tahniah diucapkan.


Friday, November 20, 2009

Shimerring Flora

Sepasang lagi kurung pesak milik Rose. Meminta sulaman Shimerring Flora yang diminati ramai, ide asal Nora Manik.


lengkap dengan tudung sepadan. Cukup dengan sulaman ringkas supaya tidak terlalu sarat dengan sulaman pada baju...



Pua Kumbu

Corak "Pua Kumbu" (kredit kepada eja) saya cadangkan kepada Rose dari Langkawi bersesuaian dengan corak kain batik yang dijadikan pasangan kurung hitam putihnya.


Tidak ketinggalan Tudung Beauty© dengan sulaman sepadan sebagai pelengkap gaya di hari lebaran yang lalu.

Tuesday, November 3, 2009

Tudung Nikah & Tudung Bonda Ida©

Awal Ida menempah tudung ini untuk dipadankan dengan busana pernikahannya.

Namun kalau sudah jodoh, majlis yang dirancangkan pada penghujung tahun dipercepatkan ke hari terakhir bulan Oktober.

Alhamdulillah tiada halangan untuk menyiapkan tempahan Ida walaupun sebelum ini mood menjahit agak payah untuk diduga.


Yang ini pula istimewa untuk Bonda Ida yang meminta tudung sepadan dengan persalinan. Anggun berseri kala merai detik bersejarah menyambut kehadiran orang baru ke dalam rumah...

Quote:
from : ida <idax@xmail.com>
to : Beauty & the Beads <beautynthebeads@gmail.com>
date : Tue, Oct 27, 2009 at 12:09 PM
subject : Re: tudung nikah saya

Akak...
mak saya kata cantik n cermat akak jahit! die kata cantik sgt tudung kitorang... heh thanks akak!!! nanti nak buat lagi la bebyk kat akak k.

Alhamdulillah!



Saturday, October 24, 2009

Kalau tak dipecahkan ruyung....

Tuah ayam nampak di kaki..... Tuah BnTB, hanya Dia Yang Maha Mengetahui.


Tak pernah termimpi, tak pernah menyangka sama sekali bahawa suatu hari akan dapat berkolaborasi dengan Zery Zamry, Zahnita & ian sham yang merupakan nama² besar dalam industri rekaan fesyen, modelling dan solekan serta tatarias tanahair.

Gandingan mantap team Artisme Republic dalam seni fotografi dan penyuntingan telah membantu menyerlahkan lagi keseluruhan efek bagi memberikan impak maksima. Dan pastinya naskhah ini telah membuat saya tersenyum puas seperti selalu kala menatap hasil sentuhan anak² muda berbakat besar ini.

Mari menjamu mata dengan air tangan terkini koleksi tudung dan selendang BnTB©....















ZANny & iZAN ;-)



The Team

[Photo & editing : Artisme Republic | Make-Up : ian sham |
Fuschia Top : Zery Zamry |
Mask, Scarves & Wardrobe : BnTB]

Terima kasih atas kolaborasi yang telah menjadi momen paling manis tercatat dlm diari Beauty & The Beads©.

Alhamdulillah.


Friday, October 23, 2009

Anjakan Paradigma...

Sempena ulangtahun kedua kewujudan Beauty & The Beads di dunia maya ini, dengan rendah dirinya saya ingin mengajak anda mengunjungi Beauty & The Beads' Facebook Fan Page.

Kesudian anda menjenguk laman ini amatlah dihargai. Dan pastinya saya akan bertambah sayang kepada anda yang sudi mencemar duli menjadi pengikut BnTB ;)

Terima kasih!

Wednesday, October 21, 2009

Tudung Beauty© buat Sarah

Tudung Beauty© putih suci melengkapi busana pernikahan Sarah tanggal 10 Oktober lalu.

Semoga kekal bahagia aman sentosa hingga ke akhirnya. Insya-Allah!


Thursday, October 8, 2009

Dragonfly©

Seringkali mahu tampil lain daripada yang lain, maka beliau menyuarakan keinginan untuk mempunyai identiti tersendiri pada tudung Beauty.

Sulaman manik labuci lazimnya menampilkan corak bebunga (selain sang rama-rama yang merupakan signature design BnTB), tapi kali ini beliau mencabar saya menyulam sang pepatung pula.

Mempersembahkan sentuhan istimewa untuk Cik Puan yang baru kembali dari Tanah Suci...

lengkap dengan topeng berhias seekor pepatung yang menjadikan si pemakai jadi perhatian ramai...

Jauh terbangnya topeng hitam dengan pepatung ini. Alhamdulillah!

Wednesday, September 30, 2009

Nurin Qaseh

Assalamu'alaikum

Selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin.

Bertemu semula dengan entri pertama selepas demam raya... Kebaya bersulam kerawang milik Nurin sang jurumekap yang namanya kian meniti di bibir para penggemar seni solekan dan bakal raja sehari.

Seperti kebiasaan, transformasi sulam kerawang perlu dibuat dengan teliti. Menyulam manik labuci pada sulaman perlu berhati-hati kerana acapkali jarum terpatah dua. Pemilihan warna juga perlu dibuat dengan bijaksana agar sesuai dengan kain padanannya. Untuk kebaya Nurin ini, saya memilih untuk menggabungkan warna-warna yang serumpun supaya harmoni dengan warna kebaya yang sedia "menjerit".

Perhatikan sulaman polos tanpa manik di sebelah kiri (bunga labuci telah saya sulamkan terlebih dahulu) dengan yang telah diperindahkan di sebelah kanan.



Ini pula sulaman manik labuci pada kerawang di kaki kebaya


Keseluruhan tangan dan depan kebaya yang disarungkan pada majlis pertunangan beliau.

Kita tunggu gambar-gambar sempena hari pertunangan Nurin. Sementara itu, untuk anda yang ingin melihat hasil sentuhan jurusolek muda ini, sila layari http://nurinmakeover.fotopages.com

Thursday, September 17, 2009

Salam Lebaran

Kepada semua sahabat handai, rakan taulan, sanak saudara, para pelanggan, penyokong, pelawat laman ini serta semua muslimin-muslimat, di mana jua anda berada...

[Photo & editing : Artisme Republic | Make-Up : Rafie the Make-Up Arts | Wardrobe : BnTB]

Insya-Allah, gambar hasil kerjatangan pra Ramadhan dan Syawal akan disiarkan selepas ini. Terima kasih kepada semua atas segala-galanya.

Sampai jumpa lagi!



Friday, September 11, 2009

Dari Kuala Lumpur ke Manchester

Mungkin benar kata orang tua. Kalau idamkan sesuatu, sebutlah sebanyak 40x nescaya jadi kenyataan. Tapi saya lebih percaya bahawa kata-kata itu adalah doa.

Mungkin ada di antara teman-teman FB yang menyedari tentang bahawa saya sering mengemaskini status di FB dengan "M.U".
Pelbagai tekaan dibuat tentang akronim itu sedangkan yang tersurat dan tersirat hanya Dia Yang Maha Mengetahui, selain saya yang empunya diri.

Apapun kisah sebenar di sebaliknya, hari ini saya tersenyum puas kerana "berkat" menyebut-nyebut "M.U", akhirnya di sana "jodoh"ku bertemu.
Siapa sangka, hasil kerja tangan yang tidak sepertinya ini telah menambat hati seorang wanita di sana.

Memang saya menggosok-gosok mata tatkala membaca jejak yang ditinggalkan di laman fotopages saya.

"Saya nak tempah tudung beauty ni kaler putih ngan kaler itam.. nak 2 tudung. camner pembayarannya? boleh ke penghantaran ke Manchester?" Sun 21-Jun-2009 22:49 Posted by:siti noorbaya

Manchester? M.U? Atau Manek Urai?


Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia, dengan izin Yang Maha Kuasa.
Lantas saya menghubungi beliau menerusi email untuk perbincangan lanjut. Tidak sukar berurusan dengan beliau. Pengesahan tempahan (siap tambah lagi sehelai), pembayaran deposit semuanya berjalan lancar.

Dan akhirnya bingkisan ini siap untuk dikirimkan...


Kos penghantaran lebih mahal daripada sehelai tudung. Tapi kalau hati sudah suka, semua indah saja...... ;-)

PM daripada Siti Noorbaya, September 10 at 6:31pm

"akak ku sayang...dah sampai dah parcel tadi kul 11 tadi...ku gembira..nak posing ngan tudung2 jap lagi..CANTEKK..."

tudung hitam "Ian" terus menjadi pujaan, tampilkan Baya penuh menawan...



tudung syifon merah jambu, buat Baya tampak ayu


kerudung putih dengan renda berperincian manik labuci, penyeri wajah kesayangan si
Wayne Rooney (ops, jgn marah eh Encik Suami...)



Apapun, terima kasih daun keladi ye Baya! Kepercayaan yang diberikan telah melakar satu lagi sejarah manis dalam diari Beauty & The Beads©


Alhamdulillah...

Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan BnTB baik dari jauh mahupun dekat. Teristimewa buat yang sentiasa setia menemani hingga sempurnanya misi ini.

Insya-Allah, ada rezeki kita ke M.U. nanti...